Anak-anak yatim pula hatinya terhiris dan sering menitiskan airmata bila melihat kanak-kanak sebaya dengannya dibelai dan dimanja oleh ibu bapa mereka. Mereka juga ingin merasa pelukan ciuman kasih sayang dari seorang ibu atau ayah. Bagi si miskin pula tercicir air liur mereka melihat oarang-orang di sekeliling menikmati bebagai jenis makanan yang lazat, sedangkan dia hendak merasa nasi sekali seharipun ibarat kata pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Hatinya sayu setiap kali melintas di hadapan rumah-rumah mewah kerana dia tiada rumah hanya menumpang tidur di mana-mana, kadang-kadang di masjid, kadang-kala di perhentian bas. Alangkah makmurnya dunia ini, jika semua insan begitu peka dengan permasaalahan ini. Dia sentiasa ingin nikmat yang dimilikinya turut sama dirasai oleh orang lain golongan yang menderita. Bumi ini akan aman bahagia jika ada insan yang turut merasa derita dengan penderitaan orang lain dan turut bersusah payah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik ini. Beruntunglah kita jika ada manusia yang memiliki hati yang gembira bila ada orang yang datang meminta pertolongan dengannya, kerana dia tidak pernah rasa senang dan tenang dalam kemewahan selagi ada orang lain yang masih dalam kepayahan dan keperitan untuk meneruskan kehidupannya. Hingga dia sanggup mengorbankan kepentingan dirinya dan bersusah payah untuk menyelamatkan, menggembirakan dan membela insan-insan yang menderita.
Inilah yang memang sepatutnya dirasa oleh kita semua, tanpa mengira bangsa dan agama. Tanggung jawab ini sudah menjadi kewajipan kita bersama. Hari ini mungkin hari dia tidak mustahil esok kita pula berada di tempat mereka. Hakikatnya tuhan menjadikan kedua-dua golongan iaitu yang kaya dan yang miskin ini ada hikmahnya Sebenarnya kita saling perlu memerlukan Jika tiada seorangpun fakir miskin di dunia ini, tiadalah peluang untuk golongan kaya mendapat pahala dengan menyumbang, bersedekah, memberi zakat dan bantu menbantu.
Adanya golongan yang fakir miskin dan lain-lain golongan yang susah ini sebenarnya menjadi penyebab dan laluan untuk yang kaya mendapat berbagai-bagai ganjaran dan pahala kerana dapat menggunakan harta yang dimilikinya untuk berbuat berbagai-bagai kebaikan dan kebajikan sementara hayat dikandung badan.....
Di dalam menyahut seruan Islam Hadhari yang di laungkan kerajaan, pelbagai pihak makin peka untuk memastikan agar kurangnya jurang perbezaan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia. Ini dibuktikan dengan tertubuhnya badan-badan kebajikan dan pusat atau rumah amal yang menaungi dan membela pelbagai golongan yang kurang bernasib baik dan perlukan bantuan.
Walau bagaimanapun, kita masih lagi sering dipaparkan di dalam bebagai segmen yang disiarkan di televisyen, mengenai kisah-kisah menyayat hati masyarakat di sekeliling kita yang menghadapi kesempitan, kepayahan dan keperitan di dalam kehidupan. Saban hari menekan perasaan agar sentiasa optimis untuk menanti sinar harapan yang mungkin akan mengubah nasib mereka yang diselubungi derita yang tidak semua orang mampu menanggungnya. Mereka hakikatnaya insan istimewa yang dibekalkan kecekalan dan kekentalan jiwa untuk mengharung apa saja mehnah dan ujian yang datang.
Kalau boleh mereka juga tidak suka meminta-minta, biarlah ditelan sahaja dugaan yang menimpa namun untuk meyusahkan orang lain tidak sekali. Mereka juga punya maruah dan harga diri. Cuma kita sebagai insan yang perihatin ada hati dan perikemanusiaan yang tinggi tidak mungkin akan berlepas tangan dalam menangani permasaalahan ini.